Perbezaan Antara Sistem Muamalat Islam Dan Konvensional
Perbezaan Antara Sistem Muamalat Islam Dan Konvensional
Perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional boleh dilihat kepada konsep dan operasi.
Konsep Kewangan Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syariah yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (keraguan), maisir (judi), tadlis (penipuan), penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Manakala konsep sistem kewangan konvensional pula berlandaskan pemberian faedah (riba) dalam hampir semua transaksi sama ada dalam pinjaman, overdraf, cukai, sewa beli simpanan dan kad kredit.
Dari sudut operasi pula, Sistem Kewangan Islam berteraskan akad yang telah dipersetujui oleh syarak seperti Bai' Bithaman Ajil (BBA), Wadi'ah, Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya. Manakala Sistem Kewangan Konvensional pula operasinya tidak berteraskan akad-akad yang sah dari sudut syarak dan kebanyakannya terlibat dalam sistem pinjaman yang berteraskan riba.
Sistem Kewangan Islam pelaburannya bebas dari sebarang unsur ketidakpastian (gharar). Setiap pelaburan adalah mengikut hukum Islam dan dipastikan tidak terlibat dalam aktiviti yang telah diharamkan seperti perjudian, spekulasi, jualan minuman keras, makanan tidak halal dan sebagainya. Sistem Kewangan Konvensional pula memberi kebebasan melakukan pelaburan untuk memaksimumkan keuntungan dan tidak bercanggah dengan undang-undang.
Sistem Kewangan Islam terdiri daripada ulama, ahli akademik dan pakar perbankan Islam. Mereka merupakan ahli majlis penasihat Syariah pusat yang ditubuhkan untuk mengawal selia dan memastikan Perjalanan operasi intitusi perbankan Islam supaya konsisten serta sentiasa mengikut hukum syarak. Sistem Kewangan Konvensional pula mereka pakar dalam urusan perbankan sahaja bagi memastikan bank mencapai keuntungan maksimum.
(Sumber: Buku Pendidikan Islam Teras)
Comments
Post a Comment